Monday, March 23, 2009

Hari Gawai

Iban




Bidayu




Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.





Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil "Beras Pulut". Beras tersebut akan di rendam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai "Tajau". Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan dipanggil "Nasi Tapai". Namun pada masa kini proses pembuatan tuak berlainan sedikit iaitu selain dibuat menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu,gawai burung dan sebagainya. Selain daripada masyarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu juga membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak juga boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal,muntah sekiranya diminum berlebihan.


Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai. Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.



lesung

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.





manik-manik yang dihias pada baju


Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.


Tarian Ngajat





Tarian Ngajat sangat popular di kalangan orang Iban di Sarawak.

Ngajat bagi orang-orang Iban adalah tarian semasa menyambut Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu ia ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.

Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras diperbuat dari kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Tarian ini tarikan dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh.

Satu jenis tarian ini lagi ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.

Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Gawai